Sunday, 18 December 2011

SEJARAH SABAH DAN SARAWAK 1841-1963

TAJUK: SEJAUHMANAKAH DASAR BRITISH DI PERAIRAN BORNEO DITENTUKAN OLEH PERHITUNGAN YANG BERSABIT DENGAN SOAL IMBANGAN KUASA DI EROPAH DAN PERSAINGAN KUASA DI ASIA TENGGARA PADA ABAD KE-19.

1.0.            Pengenalan
Secara umumnya, penjajahan merupakan kegiatan sesebuah negara untuk meluaskan wilayah dengan menguasai dan menjelajah negara-negara lain sama ada dari aspek ekonomi, politik mahupun sosial. Dalam konteks ‘imperialisme’, penjajahan merupakan satu bentuk penguasaan negara-negara yang kuat terhadap negara-negara yang lemah. Tujuan utamanya adalah untuk mengeksploitasi sumber-sumber yang ada di negara tersebut demi kepentingan untuk mengukuhkan kuasa negara mereka.[1] Dasar perdagangan yang dilakukan oleh penjajah Eropah ini bukan sahaja di Asia Tenggara malahan Sepanyol, Belanda, Perancis dan British telah menjajah Benua Asia untuk memonopoli perdagangan. Kesemua kuasa di Eropah sedar akan kebaikan untuk menguasai tanah jajahan supaya kepentingan ekonomi mereka terjamin. Ekoran daripada persaingan imperialisme oleh kuasa-kuasa Eropah tersebut, perebutan wilayah kekuasaan untuk mendapatkan pengaruh sama juga seperti yang berlaku di Borneo.

2.0 Dasar British di Borneo bersabit imbangan kuasa di Eropah
2.1 Borneo Utara
Sejak pada abad ke-16 lagi Borneo Utara terletak di bawah kekuasaan Kesultanan Brunei. Walaubagaimanapun, pada masa tersebut Brunei kerap mengalami kekacauan dalam negeri. Kebiaasaanya, kekacauan adalah disebabkan oleh masalah perebutan takhta sesama mereka sendiri. Pertikaian sering berlaku yang akhirnya membawa kepada sebahagian besar jajahan di Borneo Utara iaitu wilayah dari Kimanis ke Balik Papan di selatan Sungai Sibuku diserahkan kepada Kesultanan Sulu pada tahun 1704.
 Bagi mengelakkan berlakunya pertikaian tersebut, kerjasama Brunei-Sulu diadakan yang akhirnya membawa kepada penyerahan Brunei. Penyerahan dibuat adalah sebagai membalas jasa Sultan Sulu yang membantu Sultan Brunei dalam satu peperangan yang berlaku di Pulau Cermin. Sejak dari tarikh tersebut, Borneo Utara telah dikuasai oleh dua kesultanan.
 Pada ketika itu, persaingan imperialisme yang sengit oleh kuasa-kuasa barat juga turut berlaku. Hal ini berikutan untuk merebut wilayah kekuasaan bagi mendapatkan pengaruh yang lebih kuat di perairan borneo terutamanya di Borneo Utara yang mana masih banyak kawasan-kawasan yang belum diterokai oleh kuasa barat yang lain.
 Seawal tahun 1760 lagi, Syarikat Hindia Timur Inggeris atau English East India Company(EEIC) telah berusaha untuk menubuhkan petempatan di bahagian utara demi kepentingan mereka terhadap perdagangan British dan sekali gus membuka jalinan perdagangan dengan China. Dalam hal ini, individu yang bertanggungjawab membina petempatan tersebut ialah Alexander Dalrymple selepas beliau mendapat restu daripada Sultan Sulu pada tahun 1761.[2] Namun, beliau telah gagal memperoleh sokongan oleh kerajaan British iaitu untuk membina petempatan di Pulau Balambangan. Hal ini telah menyebabkan beliau telah meninggalkan perkhidmatannya dalam syarikat EEIC.
Walaubagaimanapun, pembinaan petempatan hanya berjaya apabila ditadbir oleh John Herbert.[3] Dalam hal ini Kolonial British tersebut juga tidak dapat bertahan lama kerana beliau telah gagal memenangi hati orang Taosug malahan beliau juga telah menyinggung perasaan seorang pembesar dan saudagar yang dikenali sebagai Datu Tating. Akibatnya Datu Tating dan pengikutnya seramai seratus orang kemudiannya menyerang dan memusnahkan petempatan ini. Herbert dan orang-orangnya terpaksa melarikan diri ke Labuan. Pada tahun 1803, British sekali lagi mendirikan  petempatan di Balambangan tetapi gagal.[4]
Setelah banyak kali gagal untuk mendirikan petempatan, British tidak lagi berminat di kawasan Borneo Utara sehinggalah Dent Bersaudara berjaya mendapatkan pajakan daripada Kesultanan Brunei dan Sulu iaitu pada tahun 1877 dan 1878. Sementara itu, pada abad ke-19 juga iaitu antara tahun 1845 dan 1865, orang Amerika juga turut tidak mahu ketinggalan dalam persaingan untuk mendapatkan konsesi atau pajakan di Borneo Utara. Kehadiran Amerika Syarikat sekurang-kurangnya dapat mengimbangi kerakusan Rejim Brooke. Kebetulan pada ketika itu sultan dan pembesar amat kecewa dengan sikap British yang begitu agresif menguasai jajahan Brunei sehingga hampir menakluk keseluruhan negeri tersebut.
    Claude Lee Moses iaitu Konsul Amerika Syarikat di Borneo telah menggunakan kesempatan untuk meyakinkan Sultan dan Pangeran Temenggung supaya memajakkan kepadanya sebahagian besar Borneo Utara. Beliau telah mendapat pajakan selama 10 tahun menerusi dua dokumen yang ditandatangani dengan Sultan Abdul Mumin dan Pengeran Temenggung. Beliau sebenarnya tidak berminat untuk membuka kawasan pajakan tersebut, akan tetapi tujuannya adalah bagi mengaut keuntungan hasil penjualan pajakan itu nanti. Perjanjian 1865 menjadi asas kepada penaklukan barat di Borneo Utara apabila Moses menjual hak pajakan kepada dua orang saudagar Amerika di Hong Kong iaitu Joseph Torrey dan Thomas Harris.
Torrey kemudiannya menubuhkan American Trading Company bagi membangunkan jajahan yang dipajak tersebut.[5] Torrey telah membuka petempatan di Kimanis yang dinamakan Ellena pada Disember 1865. Disebabkan faktor kekurangan modal dan kematian rakan kongsinya, Torrey telah menjual konsesinya kepada wakil Austria-Hungry di Hong Kong iaitu Baron Von Overbeck pada Januari 1877. Walaubagaimanapun, kegagalan Overbeck mendapatkan sokongan Austria telah memaksa beliau untuk meminta bantuan kewangan daripada firma Dent Bersaudara. Pada mac 1877, Overbeck dan Alfred Dent telah menubuhkan persatuan Overbeck- Dent.
          Pada Mac 1877 juga Overbeck telah memperbaharui hak pajakan selama 10 tahun daripada Pengeran Temenggung dengan bayaran yang telah ditetapkan. Walaubagaimanpun, Sultan Sulu enggan berbuat demikian atas nasihat konsul besar British di Borneo yang meminta supaya firma  Dent-Overbeck ini memasukkan dua fasal yang berkaitan tanah jajahan yang dilarang tukar milik tanpa kebenaran kerajaan British namun ianya tidak diendahkan. Selain menandatangani perjanjian dengan Sultan Brunei, Overbeck juga telah mendapatkan konsesi di wilayah-wilayah bebas yang lain.
Menyedari sebahagian Borneo Utara adalah milik Sultan Sulu, Overbeck telah bertindak dengan menandatangani perjajian dengan Sultan Sulu pada Jun 1878. Pada masa yang sama, Dent berikhtiar untuk mendapatkan Piagam DiRaja bagi meninggikan imej di samping menjamin kekukuhan serta kewibawaan syarikat dalam mentadbir jajahan yang luas. Di pihak Overbeck, campur tangan Treacher telah membataskan pemindahan hak milik dan kekurangan modal untuk teruskan cita-citanya. Disebabkan itu, Overbeck telah menjual segala hak konsesi yang diperolehinya kepada Dent pada September 1880. Setelah konsesi-konsesi diperoleh Dent dengan rakan kongsinya yang lain seperti Sir Rutherford Alcock dan W.H.M. Read telah menubuhkan The British North  Borneo Provisional Association sebagai persatuan sementara.
   Pada awalnya kerajaan British keberatan untuk memberi piagam, akan tetapi disebabkan kebimbangan kuasa-kuasa barat yang lain akan menguasai Borneo Utara seperti Jerman, Sepanyol dan Belanda, kerajaan British telah bersetuju memberi piagam tersebut kepada syarikat dengan syarat-syarat yang tertentu. Tujuan utama pihak british mengurniakan piagam tersebut adalah untuk memastikan keselamatan pertahanan dan kepentingan British di rantau ini terus terjamin. Pada 1 November 1881, Syarikat Borneo dikurniakan Piagam Diraja, kemudian lahirlah British North Borneo Charted Company (BNBCC). BNBCC telah memerintah Borneo Utara sehingga 1941.

2.2 SARAWAK
          Secara ringkasnya dapat dihuraikan bahawa kegiatan Barat di rantau ini (perairan Borneo) pada abad ke-17 dan abad ke-19 telah memusnahkan sedikit demi sedikit unit-unit politik Melayu di Asia Tenggara. Pada ketika itu, Kesultanan Melayu yang masih wujud ialah Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu.Tetapi kedu-dua kesultanan ini amat lemah. Keadaan ini bertambah buruk dengan kehadiran orang Belanda dan Inggeris. Kedua-dua bangsa ini sering bersaing antara satu sama dengan yang lain. Di samping menjalankan dasar penjajahan, orang Belanda juga menjalankan dasar monopoli perdagangan di rantau ini.[6]
          Dasar ini banyak memusnahkan sistem perdagangan tempatan. Penguasaan barat terhadap sistem politik, sosial dan ekonomi negeri mengakibatkan banyak pembesar negeri yang berkecimpung dalam kegiatan ’pelanunan’ dan perdagangan hamba abdi untuk menebus kembali kehilangan mata pencarian mereka. Sebenarnya isu ’pelanunan’ bukanlah soal baru di Alam Melayu  seperti juga di Eropah. Sebelum itu soal pelanunan tidak begitu jelas  dan meluas. Pembesar mempunyai tanggungjawab politik dan ekonomi masing-masing, kerana ketika itu ada kuasa kuat yang dapat mengawal mereka seperti Kesultanan Melaka dan Kesultanan Brunei. Kejatuhan empayar tersebut telah memberi kesempatan untuk kegiatan ini diluaskan. Hal ini menyebabkan Kesultanan Brunei sedikit demi sedikit telah kehilangan kuasa politiknya  di samping keruntuhan ekonomi tradisional. Segala peristiwa itu, dapat dihubungkan dengan kehilangan kuasa politik dan ekonomi pembesar dan saudagar Brunei, terutamanya saudagar keturunan Arab yang selalunya lebih berpengaruh di sungai-sungai seperti sungai Skrang dan sungai Saribas.[7]
Sementara itu di jajahan Sarawak, kekacauan berlaku kerana orang tempatan menentang Gabenor Brunei, Pangeran Makota. Raja Muda Hashim, bapa saudara sultan telah dihantar ke Sarawak bagi mententeramkan keadaan. Walaubagaimanapun, kekacauan terus berlaku dan dalam keadaan yang huru hara ini lah James Brooke tiba  untuk menghantar surat penyataan terima kasih dan hadiah kepada Pangeran Muda Hashim daripada gabenor Negeri-Negeri Selat, Bonhaman kerana jasa Pangeran Muda Hashim yang membantu anak-anak kapal Inggeris yang karam. Kedatangan Brooke bertujuan untuk mendapatkan tempat yang mempunyai kemungkinan ekonomi yang baik dan kebetulan semasa di Singapura Brooke mendapat tahu kekayaan antimoni di Sarawak.
Kedatangan James Brooke bukanlah semata-mata untuk berniaga maka sudah tentu beliau akan membantu Raja Muda Hashim untuk mewujudkan keamanan di Sarawak. Namun ternyata Brooke hanya sedia membantu selepas beliau ditawarkan Sarawak. Setelah mendapat Sarawak, Brooke mencari jalan untuk mengusir Raja Muda Hashim dari Sarawak kerana beliau khuatir kehadiran Raja Muda Hashim  akan mencabar kedudukan politiknya. Kelewatan Raja Muda Hashim mengiktiraf James Brooke telah menyebabkan beliau mengancam Raja Muda Hashim.[8] Pada 21 Disember 1845, Raja Muda Hashim dan saudara-maranya telah dibunuh oleh orang yang anti-inggeris yang diketuai oleh Pengiran Usop. Kematian Raja Muda Hashim telah membawa kepada penjelajahan Brooke ke Brunei. Pemergiannya kali ini untuk menetukan kedudukan politiknya di Sarawak. Brooke menggunakan peluang ini untuk mendapatkan pengiktirafannya sepenuhnya Sarawak tanpa bayaran tahunan, disamping menjalankan kempen bagi menarik minat British supaya mengambil Pulau Labuan  daripada Brunei pada tahun 1846. Dengan adanya British di Labuan, Brooke berasa kedudukannya terjamin.
Brooke bagi mencapai maksudnya, untuk memiliki pulau Labuan dan menguasai perdagangan pantai Barat Borneo, beliau telah mendesak sultan Brunei agar menyerahkan Pulau Labuan kepada kerajaan British selepas itu apabila Kapten G.Rodney Mundy telah pergi ke Brunei pada 15 Disember 1846 dan memaksa Sultan Omar Saifuddien II menandatangani perjanjian penyerahan Labuan pada 24 Disember 1846 kepada kerajaan british.
Kejayaan pertama dan kedua kelihatan belum memuaskan hati James Brooke untuk menguasai keseluruhan sumber-sumber ekonomi di Pantai Barat Borneo. Keraguan beliau ini jelas terbayang apabila dua kuasa besar iaitu Amerika dan Belanda yang memang menaruh minat terhadap pulau ini. Kenyataan ini dibuktikan apabila pihak Belanda sendiri sedang aktif membuat petempatan  baru di Selatan Pulau Borneo, hal ini menyebabkan James Brooke bertambah cemas.
Bagi menghalang kegiatan Belanda itu, James Brooke telah memberi amaran terhadap Pejabat Tanah Jajahan Luar Negeri London dengan membayangkan bahaya kegiatan Belanda ini yang dikhuatiri akan menembusi  hingga ke pantai barat Borneo. Sikap belanda ini di anggap Brooke melanggar perjanjian 1824.[9]
Walaubagaimanapun, Belanda tetap juga berdegil dengan keputusan mereka dengan alasan bahawa”..the ports of the native state with whom she had treaties were no longer native ports but Dutch ports and subject to the terms of the 1842 treaty”.[10] Walaubagaimanapun  alasan belanda, pihak British terutama James Brooke tetap kurang senang dengan kegiatan Belanda yang boleh menggugat polisi British selama ini.
Keraguan pihak British bukan sahaja kepada pihak Belanda malahan juga pihak Sepanyol sendiri yang telah pun menuntut Kepulauan Sulu daripada Sultan Sulu bagi menentukan batas-batas politik keatas Sulu.
Kecurigaan brooke lebih memuncak lagi apabila ada laporan bahawa orang Amerika, G. Tradescant Lay yang telah menemui  galian arang batu di Pulau Cermin, sebuah pulau yang letaknya di Kuala Sungai  Brunei pada tahun 1837. Sementara itu, antara tahun 1845 hingga tahun1865 pula terdapat kegiatan orang Amerika di perairan Borneo. Seperti orang barat yang lain mereka tidak mahu ketinggalan untuk mencari tanah jajahan di Asia Tenggara dan seterusnya menandatangani  perjanjian perdagangan  dengan pihak kuasa tempatan  bagi merebut punca ekonomi.
Daripada Sarawak Proper, iaitu bahagian Kuching Sarawak sekarang, beliau telah menyerang Brunei. Serangan dibuat dengan alasan ’pelanunan’ dan untuk melindungi perniagaan British. Hasilnya beliau telah mendapat kawasan Mukah, Bintulu, Oya dan Tatau antara tahun 1856 hingga 1861. Dasar perluasan seterusnya dilaksanakan oleh penggantinya, iaitu Charles Brooke. Manakala Baram dan Trusan pada tahun 1883 dan tahun 1885 sehingga penaklukan Limbang  yang terletak di utara bandar Brunei secara paksa  pada bulan mac 1890. Disnati Brooke  yang berkuasa di sarawak bercita-cita mengambil alih kuasa Sultan Brunei di Daerah  Tutong dan Belait dengan alasan  Sultan Brunei tidak dapat mentadbir dan mengamankan kedua-dua daerah tersebut. Tetapi tidak mempengaruhi British  supaya menyokong dasar perluasan empayarnya. Ini menyebabkan Rajah Brooke menghantar orang Kayan  dari Baram untuk menyerang Belait pada tahun 1883, tetapi gagal.[11] Kedudukan Brunei kini semakin lemah dan terhimpit. Di timur laut jajahanya dikuasai oleh Syarikat Berpiagam Borneo Utara British, manakala di barat daya, ditakluki rejim Brooke.

3.0 Persaingan di Asia Tenggara
          Sejak berabad lamanya, kegiatan penjelajahan kuasa-kuasa barat telah bermula berasaskan matlamat Gospel (agama), Gold (ekonomi) dan Glory (kemegahan). Kuasa Portugal dan Sepanyol merupakan 2 kuasa terulung yang mendahului  kuasa-kuasa Eropah lain dalam usaha untuk meluaskan pengaruh mereka di Asia Tenggara. Sepanjang abad ke-19, kegiatan imperialisme iaitu perlumbaan dalam kalangan kuasa-kuasa besarbarat untuk meluaskan pengaruh di Asia berlaku ternyata dipengaruhi oleh perkembangan-perkembangan semasa khususnya yang berkaitan dengan faktor ekonomi.
          Tujuan utama mereka ke timur adalah berkait rapat dengan kepentingan ekonomi khususnya yang berkaitan dengan faktor ekonomi khususnya perdagangan di asia tenggara setelah tercetusnya Revolusi Perindustrian di Eropah. Perkembangan Revolusi Perindustrian di Eropah telah mempengaruhi kuasa-kuasa barat menguasai negara-negara yang kaya dengan bahan mentah untuk keperluan kilang-kilang mereka. Bahan mentah yang sering kali manjadi rebutan oleh kuasa-kuasa barat tersebut termasuklah biji timah, getah, kelapa sawit, sutera, kain kapas dan lain-lain. Sebagai contoh, bijih timah diperlukan untuk mengetin makanan, getah untuk industri automobil dan kapas untuk industri tekstil.
          Di samping itu, mereka juga bertujuan mencari tanah jajahan baru untuk meluaskan pasaran bagi barangan siap yang dihasilkan oleh industri mereka. Justeru itu, tumpuan diberi keatas negara yang bukan sahaja memiliki hasil bumi yang banyak malahan turut juga mempunyai bilangan penduduk yang ramai. Oleh kerana hal yang berikut, mereka sering bersaing untuk mendapatkan tanah jajahan agar tidak terlepas peluang kepada kuasa-kuasa barat yang lain.
          Selain itu, terdapat beberapa bukti yang menunjukkan campur tangan kuasa-kuasa barat di Asia Tenggara antaranya ialah perluasan kuasa Inggeris di Myanmar. Myanmar sememangnya mempunyai kepentingan yang tersendiri bagi pihak British. Hal ini kerana Myanmar kaya dengan bahan mentah seperti kayu jati, galian batu permata, minyak dan tanah pertanian yang subur disamping terletak di laluan perdagangan penting ke negara China. Dalam perluasan kuasa tersebut, telah berlaku tiga siri peperangan  iaitu Perang Inggeris-Burma 1, Perang Inggeris-Burma 11 dan Perang Inggeris-Burma 111 dan akhirnya telah menyebabkan Burma jatuh ke tangan Inggeris.
          Perluasan dan pengukuhan kuasa juga turut berlaku di Indonesia oleh kuasa Belanda. Hal ini adalah kerana bagi mengukuhkan pengaruh di Jawa yang merupakan kawasan pertanian yang produktif yang mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada Belanda sementara Pantai Timur Sumatra dan Kalimantan pula kaya dengan sumber petroleum. Kuasa Sepanyol juga turut meluaskan pengaruhnya di Filipina. Hal ini berikutan kerana Sepanyol perlu lebih banyak tebu ekoran terciptanya mesin tebu untuk penghasilan gula.
          Faktor-faktor lain yang menyebabkan berlaku perluasan kuasa di Asia Tenggara ialah faktor kemajuan sains dan teknologi seperti kejayaan menghasilkan penggunaan kapal berwap. Kapal-kapal berwap ini membolehkan perjalanan laut lebih selamat dan cepat di samping memendekkan perjalanan. Penggunaan kapal-kapal perang dengan senjata moden turut membantu dalam membolot perdagangan. Selain itu, pembukaan Terusan Suez pada 1869 juga boleh memendekkan jalan dari eropah ke asia. Penciptaan telegraf juga telah memepercepatkan urusan perniagaan serta meningkatkan perdagangan seterusnya memesatkan imperialisme barat.
          Selain itu, kuasa barat juga beranggapan mereka perlu memperadatkan dan mentamadunkan orang asia setanding dengan peradaban barat yang dianggap lebih baik dan unggul. Orang-orang barat juga berazam untuk membalas dendam terhadap orang-orang islam kerana kekalahan mereka dalam perang salib. Mereka berusaha menghapuskan kekuasaan dan kejayaan islam di Asia Tenggara. Buktinya, kejayaan mereka terserlah apabila kuasa Sepanyol telah berjaya mengkristiankan penduduk Filipina dan seterusnya tindakan Perancis menuntut kebebasan paderi kristian di Indo China. 

4.0 Kesimpulan
Kedatangan kuasa barat di perairan Borneo mahupun di Asia Tenggara  adalah dengan satu matlamat yang sama iaitu gospel, gold dan glory. Matlamat tersbebut diperjuangankan bagi meluaskan pengaruh mereka agar mereka dapat menjadi kuasa besar yang mengungguli kuasa-kuasa yang lain. Namun ianya secara tidak langsung telah meninggalkan banyak kesan terhadap perubahan di kawasan tanah jajahan yang mereka jajahi.

RUJUKAN
1. J.A. Hobson, 1938, Imperialism: A Study, First Edition. Copyright by Harper-Collins      
    Publisher Ltd.
2. Baszley Bee dan Bilcher Bala, 2004, Pulau Balambangan, DBP Cawangan Sabah.
3. G. Irwin, 1881, Nineteenth Century Borneo, Kuala Lumpur.
4. O. Rutter,1930. The Pirate Wind: Tales of the Sea robbers of Malaya. London :
    Hutchinson.
5. Emily Hahn, 1953. James Brooke of Sarawak. London: Arthur Barker.
6. R. Mundy, Narrative of Events in Borneo and Celebes, London.
7. G. Irwin, 1967, Nineteenth Century Borneo. Singapore.
8. Whelan. F.G., 1970, A History of  Sabah.
9. Bazsley. Bee, Sabihah Osman, Nordin Sakke, 2009, Asas kajian persempadanan
    Negeri Sabah. Siri penerbitan penyelidikan Sains Sosial no.6 (ums).


     
                                                                                


[1]  J.A. Hobson, 1938, Imperialism: A Study, First Edition. Copyright by Harper-Collins Publisher  Ltd.                                                                                                                                             
[2]  Whelan,  A History of  Sabah, 1970, hlm. 83
[3] Baszley Bee. Sabihah Osman. Nordin Sakke, Asas Kajian Persempadanan Negeri Sabah, 2009, hlm 19
[4]  Baszley Bee dan Bilcher Bala, 2004, Pulau Balambangan, DBP Cawangan Sabah, hlm.43.
[5] G. Irwin, 1881, Nineteenth Century Borneo, Kuala Lumpur, hlm.195.
[6]  O. Rutter, 1930, The Pirate Wind: Tales of the Sea robbers of Malaya, London : Hutchinson, hlm.36
[7]  Emily Hahn, 1953, James Brooke of Sarawak, London: Arthur Barker, hlm. 37-38
[8]  R. Mundy, Narrative of Events in Borneo and Celebes, dowm to the occupation of Labuan from the journals of Jame Brooke Esq.,Jil.I, London: John Murray, hlm. 52
[9]  Wright, op.cit.,hlm.46
[10]  Ibid., hlm 46
[11] Brown Brunei, hlm. 155; dan G. Irwin 1967. Nineteenth Century Borneo. Singapore: Donald Moore books, hlm. 191-194.  

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.